Yusuf berada di dalam dakapan
ayahnya. Nabi Ya’aqub merenung lama ke
wajah anaknya itu. Beliau merasakan seluruh kecantikan yang ada di muka bumi
ini telah dibahagikan antara Yusuf dan ibunya, Rahil. Beliau teringat suatu
hari Yusuf bercerita kepada saudara-saudaranya bahawa dia telah bermimpi
bersama-sama dengan abang-abangnya mengikat berkas-berkas kayu di ladang.
Tiba-tiba berkas kayu Yusuf berdiri dan mengelilingi berkas-berkas kayu yang
lain. Kemudian berkas-berkas kayu yang
lain itu sujud kepada berkas kayu Yusuf. Terngiang-ngiang juga kata-kata
anaknya yang lain yang mengatakan bahawa Yusuf akan menjadi raja kepada mereka
semua.
Kesemua anak Nabi Ya’aqub yang
lain amat cemburu kepada Yusuf. Mereka sering memarahinya. Ayah mereka, Nabi
ya’aqub menjadi penjaga kepada Nabi Yusuf daripada sasaran kemarahan dan
cemburu abang-abangnya itu. Yusuf dijaga dilindungi dengan penuh hati-hati.
“Ayah, aku telah melihat
sebelas butir bintang, matahari dan bulan sujud kepadaku,” kata Yusuf kepada
ayahnya pada suatu hari.